MENU

1) Pengangkutan Bas

Perkhidmatan bas merupakan perkhidmatan awam yang paling popular di dalam Daerah Temerloh. Terdapat 3 buah syarikat bas biasa beroperasi di dua buah terminal utama di dalam kawasan Bandar Temerloh dan Bandar Mentakab. Terminal bas Bandar Temerloh menyediakan perkhidmatan bas ekspress dan juga bas biasa.

Kebanyakan syarikat bas menawarkan perkhidmatan bermula dari pukul 6.00 pagi dan berakhir pada pukul 6.00 petang. Antara syarikat bas yang beroperasi adalah Pahang South Union Sdn. Bhd, Syarikat Bas Tanjung Keramat dan juga Syarikat Bas Haji Awang,

Bagi syarikat bas Pahang South Union Sdn. Bhd, perkhidmatan yang ditawarkan adalah dari Bentong ke Temerloh. Syarikat ini mempunyai sebanyak 46 buah bas di mana kekerapan setiap bas adalah antara 30 minit hingga 45 minit serta mempunyai trip perjalanan sebanyak 22 trip.

Bagi Syarikat Bas Tanjung Keramat pula, terdapat 7 laluan yang dikenalpasti di mana terdapat 27 buah bas yang disediakan. Perkhidmatan bagi bas ini bermula pada pukul 6.00 pagi – 6.00 petang. Semua perkhidmatan bas ini akan tamat di Stesen Bas Temerloh kecuali bagi perjalanan ke Kurun dan Mayam. 

2) Perkhidmatan Keretapi

Perkhidmatan ini memberikan kemudahan alternatif bagi pengangkutan barangan serta manusia di kawasan kajian. Terdapat sebuah stesen utama yang terletak di Bandar Mentakab dan 3 buah stesen kecil di Sungai Belenggu, Kerdau dan Kuala Krau. 

3) Perkhidmatan Teksi

Perkhidmatan teksi mempunyai terminal berpusat di Bandar Temerloh. Terminal teksi di Bandar Temerloh adalah bersepadu dengan terminal bas. Perkhidmatan teksi yang ditawarkan adalah meliputi perkhidmatan dalam Daerah Temerloh dan juga luar Daerah Temerloh. Manakala bagi teksi bandar pula, perkhidmatan yang ditawarkan adalah di sekitar Temerloh dan Mentakab. 

4) Pengangkutan Air

Pengangkutan air memberikan perkhidmatan kepada penduduk-penduduk kampung yang tinggal di sepanjang sungai terutama sekali Sungai Semantan dan Sungai Pahang. Terdapat sebuah jeti yang berfungsi untuk menurun dan menaikkan penumpang di Bandar Temerloh dan juga Kuala Krau.