Temerloh merupakan sebuah bandar yang maju dan tersusun. Ia terletak di Pahang Tengah dan merupakan pusat pertemuan diantara Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Temerloh juga terkenal dengan jolokkan Bandar Ikan Patin kerana ikan jenis ini banyak terdapat di sini, memandangkan bandar ini berhampiran dengan sungai yang lebih dikenali sebagai Sungai Pahang.
Di sini diceritakan serba sedikit mengenai sejarah Bandar Temerloh. Menurut hikayat melayu dahulukala, Temerloh bukan sahaja tempat yang terakhir bagi Batin Seridun, dimana beliau menguasai kawasan antara Gunung Senyum di sebelah barat dan Bukit Gebuk di sebelah timur. Jesteru itu, nama ini telah dipilih oleh Batin Seridun bagi menamakan salah sebuah daerah di dalam negeri Pahang sejak daerah ini ditubuhkan mulai 1 Julai 1889.
Menurut cerita Batin Seridun, pada suatu hari pada zaman dahulu, anak raja dari Minangkabau iaitu Sujudbilang dan abang-abangnya telah meninggalkan Minangkabau. Mereka berlayar ke Daik dan dari sana meraka ke Pahang. Setelah diperkenankan oleh Bendahara Pahang, mereka menaiki sebuah perahu galah lalu menyusur sepanjang Sungai Pahang. Setelah beberapa lama perahu itu mudik, maka perahu yang membawa rombongan itu telah sampai di tempat yang dikenali sebagai Sentang Mukim Kertau dalam daerah Maran. Mendengarkan ramai orang di darat, maka mereka pun singgah dan naik ke tebing untuk melihat keadaan sekeliling.
Malangnya, kehadiran Sujudbilang dan abang-abangnya tidak diterima oleh penduduk di situ. Sehubung dengan itu, Sujudbilang dan abang-abangnya cuba berbaik-baik dengan orang asli yang berada di sekitar sungai iaitu di kiri dan kanan Sungai Pahang. Dalam pada itu, Sujudbilang berkata kepada abang-abangnya, " Ramah tamah pangkal, modal budi bahawa penambat hati pembuka manis, selera nafsu." Abang-abangnya faham akan maksud Sujudbilang tersebut.
Maka mulai hari itu, di mana ada kampung orang asli pasti mereka akan singgah. Mereka memberi garam dan tembakau kepada orang-orang asli tersebut. Begitulah cara mereka menambat hati orang-orang asli yang ditemui. Sesudahnya mereka sampai di pengkalan Batin Seridun. Apabila mereka tiba di sana, perahu ditambat maka Sujudbilang dan abang-abangnya naik ke darat membawa garam dan tembakau. Jesteru itu, perhubungan Sujudbilang dan Batin Seridun menjadi semakin erat dan kukuh. Ini dapat dijelaskan melalui situasi dimana wujudnya persepakatan antara kedua-duanya iaitu mereka bersama-sama keluar pada awal pagi dan pulang lewat petang dengan membawa balik barang-barang makanan.