MENU

INGKAR TULISAN JAWI, PAHANG TETAPKAN KOMPAUN RM250 BERMULA TAHUN HADAPAN

KUANTAN, 2 NOVEMBER 2019, Bermula tahun hadapan, pengusaha premis perniagaan yang gagal melaksanakan tulisan jawi pada papan tanda atau papan iklan diseluruh negeri ini akan dikenakan kompaun sehingga RM250 bagi satu kesalahan.

Kompaun itu akan berkuatkuasa selepas tamatnya tempoh proses pendidikan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berakhir disember ini.

Perkara tersebut didedahkan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB En. Abd Rahim Muda selepas merasmikan Program Sayangi Pantai Kita di Pusat Rekreasi Balok disini hari ini.

Kerajaan Negeri dan PBT memandang serius perkara ini kerana penguatkuasaan tulisan jawi adalah titah Yang Dipertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah sejak 13 November tahun lalu.

Menurut Abd Rahim, walaupun telah hampir setahun titah KDYMM Tuanku dan belum memuaskan pelaksanaannya namun pemilik premis perniagaan di negeri ini dilihat sedang berusaha melakukannya.

Justeru itu beliau menyeru kepada semua premis perniagaan yang belum berbuat demikian agar melakukannya secepat mungkin.

Beliau turut menggesa semua pihak PBT di daerah lain negeri ini supaya terus menggerakkan lagi usaha pendidikan sebelum disusuli tindakan kompaun kepada yang ingkar .

Penguatkuasaan tulisan jawi ini bertujuan memartabatkan semula tulisan itu yang kini dilihat semakin terpinggir. Golongan muda juga semakin melupai tulisan jawi yang pernah menjadi tulisan penting suatu ketika lalu dan telah banyak melakar sejarah negara.

Semoga tulisan jawi terus mekar dan subur di bumi bertuah ini, Negeri Pahang Darul Makmur.

Disediakan oleh
Unit Komunikasi Dan Media Pahang

Kemaskini Terakhir: Selasa, 19 November 2019 - 10:17am