MENU
KDPM TENGKU MAHKOTA PAHANG RASMI SAMBUTAN HARI HARIMAU SEDUNIA
 
24 Julai 2024 (Rabu) – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Harimau Sedunia 2024 di Institut Biodiversiti, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di Lanchang pada 22 Julai 2024.
 
Baginda diiringi Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan watikah kepada Renjer Komuniti Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal dan sijil penghargaan kepada Rakan Strategik Jabatan PERHILITAN. Baginda kemudiannya berkenan melepaskan rusa dan pelanduk ke kawasan habitat yang disediakan serta melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) yang menempatkan sebanyak enam ekor Harimau Malaya yang sedang menjalani program conditioning untuk membiasakan dengan situasi di habitat semula jadi.
 
Hari Harimau Sedunia merupakan sambutan yang diraikan pada 29 Julai setiap tahun bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spesies harimau. Sambutan ini adalah relevan kepada Malaysia yang masih mempunyai Harimau Malaya iaitu spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara.
 
Majlis sambutan diadakan di negeri Pahang bagi menghargai sokongan padu Kerajaan Negeri Pahang dalam penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya (Malayan Tiger Conservation Centre-MTCC) dan kesungguhan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang menerajui pelaksanaan pelbagai usaha konservasi Harimau Malaya.
 
 
Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA