MENU
TINDAKAN SEGERA MPT DAN AGENSI TANGANI BENCANA RIBUT DI TAMAN SRI KERINAU
 
10 Jun 2025 (Selasa) – Pada petang 9 Jun 2025, sekitar jam 5:30 petang, satu kejadian ribut kuat disertai hujan lebat telah melanda kawasan Taman Sri Kerinau dan sekitarnya. Kejadian ini berlaku secara tiba-tiba dan telah menyebabkan pelbagai kerosakan kepada harta benda, khususnya melibatkan peniaga kecil dan beberapa infrastruktur awam di kawasan tersebut.
 
Beberapa kiosk milik peniaga tempatan mengalami kerosakan teruk, dipercayai akibat tiupan angin yang sangat kuat sehingga merosakkan struktur bumbung dan rangka premis. Tindakan pantas telah diambil oleh pihak berwajib apabila kejadian tersebut dimaklumkan. Penyelaras DUN Kuala Semantan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh serta Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) segera turun padang bagi meninjau keadaan dan merancang tindakan susulan.
 
Turut hadir ke lokasi ialah beberapa Ahli Majlis MPT, iaitu YH. Dato’ Kurnia Arjuna Dato’ Akhbar bin V.V. Abu, En. Rozlan bin Manaf, En. Mohd Azly bin Norzan, dan En. Adam bin Ahmad. Kehadiran mereka bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar tahap kerosakan dan menyampaikan maklum balas secara terus kepada pihak pengurusan. Selain itu, beberapa agensi lain turut terlibat, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
 
Antara tindakan segera yang telah dilaksanakan ialah mengadakan perbincangan antara agensi-agensi terlibat untuk menyelaras bantuan yang diperlukan oleh mangsa. MPT juga telah diarahkan untuk memberikan bantuan kepada lima peniaga kiosk yang terjejas teruk. Jabatan Landskap,MPT digerakkan serta-merta bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penebangan pokok tumbang di sekitar Taman Sri Kerinau, dan operasi ini telah berjaya diselesaikan dengan cepat dan selamat.
 
Selain itu, rondaan yang dijalankan oleh Bahagian Perhubungan Awam MPT mendapati terdapat beberapa rumah milik kakitangan MPT sendiri yang turut mengalami kerosakan akibat bencana tersebut. Senarai lengkap mangsa dari kalangan staf masih dalam proses pengesahan dan kemas kini.
 
Kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pihak tentang pentingnya persiapan menghadapi bencana alam yang tidak dijangka. Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kerjasama antara agensi dan masyarakat setempat amat dihargai dalam memastikan bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.
 
Majlis Perbandaran Temerloh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha bantuan dan pemulihan ini. MPT akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah sewajarnya demi kesejahteraan penduduk Temerloh.
 
 
Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA