KUNJUNGAN HORMAT KELAB BADMINTON MENTAKAB KE MAJLIS PERBANDARAN TEMERLOH (MPT)
25 Ogos 2025 (Isnin) – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Tuan Rizal bin Mustafa, pagi tadi menerima kunjungan hormat daripada Kelab Badminton Mentakab yang diketuai oleh Pengerusinya, Ngoh Kwee Meng.
Kunjungan ini turut dihadiri oleh legenda badminton Malaysia, Datuk Foo Kok Keong, serta legenda badminton Indonesia, Bobby Ertanto, bersama barisan ahli kelab yang lain. Kehadiran tokoh-tokoh badminton ternama ini merupakan satu penghargaan kepada pihak MPT atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan di daerah Temerloh.
Sesi kunjungan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan pelbagai agenda penting, termasuk pengukuhan kerjasama dalam memperkasa pembangunan sukan badminton, pelan pembangunan bakat muda, potensi penganjuran kejohanan di peringkat daerah dan negeri, serta cadangan penambahbaikan fasiliti sukan badminton di Temerloh agar lebih mesra komuniti dan sesuai untuk aktiviti berterusan.
Majlis Perbandaran Temerloh amat menghargai inisiatif serta komitmen Kelab Badminton Mentakab bersama legenda badminton yang hadir dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan tempatan. Pihak majlis menyatakan kesediaan untuk terus menyokong program-program yang berpotensi memberi impak positif kepada pembangunan sukan dan kesejahteraan masyarakat setempat.





Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
Laman Web: http://www.mpt.gov.my/
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA