MENU
MAJLIS PERASMIAN TITIK TENGAH SEMENANJUNG OLEH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
 
19 Januari 2024 (Jumaat) - Majlis Perasmian Temerloh Titik Tengah Semenanjung Malaysia telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Kampung Paya Siput semalam. Hadir sama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, barisan Exco negeri serta kepimpinan negeri Pahang.
 
Mercu tanda Temerloh Titik Tengah Semenanjung menjadi tarikan komersial kepada kedatangan pelancong sekaligus membantu memajukan kawasan sekitarnya. Pembangunan destinasi Temerloh Titik Tengah Semenanjung itu dibina sebagai salah satu usaha kerajaan dalam agenda Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan bagi penduduk tempatan.
 
Kajian telah dilakukan pada tahun 2009 bagi menentukan titik tengah Semenanjung dengan tepat iaitu dengan menggunakan tiga kaedah pengukuran bagi membuat analisis dan kaedah hitungan matematik adalah yang paling sesuai menghasilkan nilai titik konklusif. Pada 13 Mei 2009, Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang mendapat kata sepakat bahawa Titik Tengah Semenanjung berada di Lot 2765 di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh. Namun atas kesesuaian tapak, monumen ini dibina atas Lot 1869 yang terletak 200 meter dari titik tengah asal.
 
Monumen ikonik yang dibina menerapkan seni bina simbolik Rukun Iman dan Rukun Islam. Ia juga dilengkapi penunjuk arah kiblat dan memaparkan jarak ibu negeri bagi negeri-negeri di Malaysia dari Titik Tengah Semenanjung. Pembinaan mercu tanda itu telah digerakkan oleh Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin (ADUN Lanchang ketika itu) melalui peruntukan daripada ECERDC dan dibantu oleh agensi-agensi seperti Majlis Perbandaran Temerloh, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, JUPEM dan lain-lain. Pembinaan monumen telah dimulakan pada 25 Oktober 2015 dan siap pada 25 November 2019. Lokasi monumen ikonik terletak tidak jauh dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Santuari Rusa ‘Deerland Park’ di Bukit Rengit selain Lembah Hijau. Kawasan ini turut menyediakan fasiliti seperti gerai, tandas, wakaf, surau, taman rekreasi, permainan kanak-kanak dan sebagainya.
 
 
Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA