TINJAUAN PENCERAHAN BANDAR TEMERLOH: PERSIAPAN AWAL MENYAMBUT KEBERANGKATAN TUANKU
26 Ogos 2025 – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Tuan Rizal bin Mustafa, malam semalam telah mengadakan tinjauan menyeluruh terhadap keadaan lampu-lampu jalan dan pencahayaan awam di sekitar pusat bandar Temerloh.
Lawatan ini bukan sahaja bertujuan memastikan sistem pencahayaan berfungsi dengan baik demi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, pengunjung dan komuniti setempat, malah turut menjadi langkah persiapan awal bagi menyambut Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Pahang ke Bandar Temerloh pada 18 September 2025.
Aspek pencahayaan yang teratur dan berkesan memainkan peranan penting dalam memperindah wajah bandar, selain mewujudkan suasana malam yang lebih ceria, selesa dan mesra pengunjung. Dalam tinjauan tersebut, Yang Dipertua MPT turut mengambil maklum maklumat serta aduan masyarakat mengenai beberapa kawasan yang memerlukan tindakan segera bagi penyelenggaraan dan penggantian lampu rosak.
Majlis Perbandaran Temerloh memberi jaminan akan melaksanakan penyelarasan segera dengan pihak berkaitan untuk memastikan bandar ini berada dalam keadaan terbaik menjelang keberangkatan Tuanku kelak. Warga Temerloh juga digalakkan untuk terus menyalurkan maklumat serta cadangan penambahbaikan melalui saluran rasmi MPT demi memastikan Temerloh kekal terang, selamat dan berdaya tarikan, selaras dengan aspirasi “Temerloh Bandar Pelancongan Maju, Bersih dan Sejahtera”.





Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
Laman Web: http://www.mpt.gov.my/
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA