MENU
PROGRAM GOTONG-ROYONG ZON TAMAN TENGKU AMPUAN AFZAN, LANCHANG BERLANGSUNG MERIAH 
 
23 Ogos 2025 (Sabtu) – Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dengan kerjasama komuniti setempat telah menganjurkan Program Gotong-Royong sempena Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) Tahun 2025 di Perkarangan Kawasan Lapang Taman Tengku Ampuan Afzan, Lanchang pagi tadi.
 
Program ini telah bermula seawal jam 7.30 pagi dengan ketibaan para dif kehormat, jemputan serta penduduk sekitar. Suasana pagi dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik Zumba sebagai pembuka tirai, seterusnya diteruskan dengan perkongsian ilmu dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Temerloh. Perkongsian tersebut memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan pengetahuan asas keselamatan kebakaran.
 
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Tuan Rizal Bin Mustafa. Sebagai simbolik pelancaran beliau telah menyempurnakan gimik perasmian dengan memotong riben bunting menandakan bermulanya aktiviti gotong-royong komuniti di taman berkenaan. Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Temerloh dan Klinik Kesihatan Daerah Temerloh.
 
Pelbagai aktiviti turut dilaksanakan sepanjang program, antaranya:
- Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan di Taman Tengku Ampuan Afzan.
- Pertandingan mewarna kanak-kanak bawah 6 dan 12 tahun.
- Cabutan bertuah untuk peserta.
- Perkhidmatan penukaran tong sampah.
- Pemeriksaan kesihatan percuma untuk penduduk.
 
Program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kebersihan dan keselamatan, malah turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan semangat kejiranan, mengeratkan hubungan silaturahim dan membina komuniti yang lebih harmoni. Kehadiran ramai penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat mencerminkan komitmen bersama untuk menjadikan kawasan perumahan lebih bersih, sihat dan sejahtera.
 
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga usaha murni ini menjadi contoh terbaik kepada kawasan lain serta memperkukuhkan lagi peranan Majlis Perbandaran Temerloh dalam merealisasikan komuniti bandar yang mampan dan sejahtera.
 
A
A
A
A
A
 
Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA