MAJLIS SAMBUTAN HARI KESIHATAN PERSEKITARAN SEDUNIA (SHKPS) PERINGKAT KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN (KPKT) TAHUN 2024
09 Oktober 2024 (Selasa) - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) terus melakar kejayaan dianugerahkan tempat pertama Pihak Berkuasa Tempatan Cemerlang dalam Kempen Kesihatan Persekitaran anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tahun 2024 bagi kategori Kempen Premis Makanan Bersih 2024.
Tuan Haji Suris bin Mihat, Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Temerloh diiringi En. Mohamad bin Mohd Nor,Setiausaha MPT telah hadir menerima anugerah berkenaan di Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tahun 2024 bertempat di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi, Selangor yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Binti Sabu.
SHKPS 2024 bertemakan “Persekitaran Lestari Pemacu Malaysia MADANI” merupakan acara tahunan KPKT sejak tahun 2012 dengan objektif untuk mempromosi peranan dan sumbangan KPKT dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam penjagaan kebersihan dan kesihatan persekitaran, khasnya dalam penjagaan aspek pencegahan penyakit dan memelihara kesejahteraan komuniti di kawasan PBT.
SHKPS 2024 turut memberi pengiktirafan kepada PBT yang cemerlang dalam pelaksanaan kempen-kempen kesihatan persekitaran anjuran KPKT bagi tahun 2024 dan Pertandingan Pengiktirafan Medan Selera Bersih di Kawasan PBT Tahun 2024.
Kempen Kesihatan Persekitaran KPKT melibatkan tujuh (7) sub program utama Kesihatan Persekitaran iaitu Kempen Cegah Wabak Denggi, Kempen Membasmi Hotspot Denggi, Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih, Kempen Tandas Awam PBT Bersih “BMW” dan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada warga MPT dan seluruh pihak yang terlibat serta semua PBT yang menerima pengiktirafan dan anugerah sempena kempen yang telah dianjurkan.
Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
Laman Web: http://www.mpt.gov.my/
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA